dewandahlia

26 April 2010

mimpi kita tetap sama

Dideklamasikan oleh En.Mustafa Noor (Guru Bahasa Melayu) bersama murid pendidikan khas. Aswad(depan) dan Ihsan.



Mimpi Kita Tetap Sama

Sekadar renungan kita bersama
Suatu cerita anak-anak istimewa
Bukan mengata atau mencerca
Untuk renungan kita bersama

Kita mungkin lupa atau buat-buat lupa
Kita mungkin alpa atau menyembunyikan rupa 
Pernahkah kita menjengah muka
Melihat anak-anak kita di hujung sana
Pernahkah kita bertanya khabar
Walaupun sekelumit bak benang selembar

Ayah dan ibu
Walau kami sebumbung yang berbeza dindingnya
Impian kami seperti anak-anak yang lain
Yang leka bermain
Dalam hubungan yang mesra terjalin

Ayah dan ibu
Kami tidak pernah minta prihatin
Walau nasib kami belum terjamin
Kepada ayah dan ibulah kami dipimpin

Anak-anakku
Ayah dan ibu bangga kamu di sini
Malam-malammu yang panjang
Embun tetap menyimbah memenuhi ranjang
Pada anak-anak yang memasang impian
Dalam kesampaian yang tiada jawapan

Ayah dan ibu
Kami sedar walau malam kian pudar
Darah yang mengalir tetap menjalar
Kerana sesuatu bangsa itu takkan berubah
Begitulah azam kami tak mengenal erti payah

Ayah dan ibu
Kami di sini ingin berpesan
Kepada kami dilupa jangan
Ilmu ditimba takkan kami siakan
Selagi kasih dan sayang membayangi kemanusiaan

Anak-anakku yang tersayang
Sebagaimana dedaun mengusik jendela
Segala pesanan menjemput keinsafan 
Selagi kita bernama insan
Usahlah kita terlalu asyik bermain perasaan
Marilah kita bersama-sama berpimpin tangan
Tanpa membezakan siang atau malam

Mustafa Noor
8 April 2010


* Sajak dideklamasikan sempena perasmian Minggu Pendidikan Khas SMK Bukit Baru,Melaka pada 26 April 2010*


~salam sayang~



No comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi meluangkan masa..