dewandahlia

30 November 2010

cuti

Sempat mencuri masa menaip apa yang terlintas.

"Ibubapa mana sanggup tengok anak terkilan melihat kehidupan mewah rakan-rakannya yang lain?"
"Anak terkilan melihat kawan-kawan bercuti"

Ayat tersebut dipetik dari sebuah akhbar harian yang ruangan iklan berbayarnya dibeli oleh sebuah syarikat minyak wangi.

Maksudnya anak-anak sekarang mengejar kemewahan sehingga memaksa ibu dan ayah mencari sumber pendapatan sampingan yang lain.
Kemewahan.

Ramai yang suka dengan cuti sekolah. Cikgu juga. (tetapi tidak jika tuntutan kerja belum disiapkan)

Lepas sahaja naik dari cuti sekolah..seminggu itu mesti kecoh bercerita musim percutian..

"Kau pergi mana? Papa aku bawa makan angin ke Sarawak..."

Yang mendengar terkulat-kulat..Seronoknya kawan dapat naik kapal terbang. Itu baru Sarawak..buatnya kawan dia cerita bercuti di luar negara..lagi melopong yang dengar..

Tapi,

Kalau aku jadi kawan yang mendengar..aku tak rasa terkilan..atau..balik rumah merengek-rengek pada mak dan abah minta dibawa ke Sarawak atau bercuti..

Itu adalah rezeki masing-masing.

Jika orang lain sibuk bercuti, aku pula sibuk membungkus nasi lemak.
Rezeki aku di situ. Itu juga rezeki keluarga aku.

Tak kiralah..cuti mingguan ke, cuti sekolah ke, cuti semester ke..dan sehingga kini,lagilah menjadi seorang guru yang punya banyak hari cuti, tangan aku masih pantas membungkus 12kg nasi lemak! (jika tenaga kerahan diperlukan mak)

Itulah pengalaman cuti aku.

Aku tak punya pengalaman cuti yang lain. Tapi, aku tak terkilan.
Jadi, iklan itu tidak sesuai untuk aku.



Moga aku diberi peluang membawa mak abah aku bercuti.








Dan aku akan terkilan kalau aku tak sempat.


*salam sayang*

24 November 2010

kalau memang dah sedap

Makan tengah hari keluarga aku adalah pukul 4 atau 5 petang...memang lain dan agak terlajak..memang itulah jadual waktunya..selalunya waktu tengah hari orang lain, mak dan abah aku akan mengemas kedai..itu pun untung kalau sempat masak...

Jadinya, bila aku balik dari sekolah, aku akan singgah di mana-mana kedai makan..dan bungkus lauk..
Memang selalulah juga makan lauk kedai..alah bisa tegal biasa..

Adalah beberapa senarai kedai makan tengah hari yang selalu aku singgah balik dari sekolah..

Tapi, yang tak menariknya bila ada yang memberitahu ada antara kedai yang ramai pelanggan tersebut dipenuhi dengan makhluk-makhluk yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar..

Memang betul pun kedai itu ramai pengunjung setianya..

Tapi, takkanlah semua kedai yang ramai pelanggan..menggunakan sisi gelap untuk mencari rezeki..susah juga kalau teori ini diterima pakai..
Memang tak dinafikan, ada yang menggunakan kaedah tersebut..sementelah ada yang bertanya kepada abah aku rahsia-rahsia sulit..abah aku nak jawab apa..memang tiada rahsia sulit,sisi gelap..hanya tawakal..doa mohon rezeki dilimpahkan..(Alhamdulillah, kami dua beradik lepasan universiti dengan abahnya seorang peniaga roti canai)..




Setakat ini, belum terdengarlah cerita menyatakan kedai Roti Canai Rosle Melaka Baru atau Roti Tampal Rosle Tepi Sungai menggunakan kaedah hitam sehingga warungnya tak putus dikunjungi..

Mahu makan penampar dari aku..

Susah payah peniaga warung makan atau kedai makan mencari rezeki..hanya mengharapkan kunjungan dari pelanggan untuk mencari sesuap rezeki halal..kenapa cerita itu atau cerita ini lebih disensasikan..lebih dijaja dari mulut ke mulut..kalau terdengar pun, senyap sunyikan diri..

Pergi sahaja ke kedai itu..dengan niat..untuk makan..agar dapat terus hidup beribadah dan mencari sesuap rezeki..jangan lupa membaca doa sebelum dan selepas makan..insyaAllah, suapan nasi itu lebih berkat dari memikirkan betul ke ada yang tak nampak di kedai tersebut...

Ini kalau makan pun tak baca doa..macam mana..

Dan kalau memang dah sedap...


*salam sayang*

23 November 2010

tiga

Entri ditaip dan dikarang semasa menunggu anak-anak murid menduduki peperiksaan SPM..(baik tak kami-aku dan rakan-rakan..? heheh..)

SPM

Mahu tak berdebar..murid Pendidikan Khas,menduduki peperiksaan SPM..
Kira dah berjaya mereka itu semua..kerana pada awalnya membaca dan menulis masih perlukan bimbingan..tetapi untuk peperiksaan sebesar ini, hanya doa mengiringi mereka..
Dah hebat dah...tahniah kamu semua!! (kepada guru-guru juga)

Kertas pertama tadi..tersenyum sahaja mereka berdua keluar dewan...aishhh..budak-budak ini boleh ke tak menjawab..cikgunya pun risau semacam..
(agaknya emak aku dulu macam ini agaknya)..
 

Buku.

Menjadi seorang penulis blog, memang aku rajin menjengah blog-blog lain..memang boleh buat kawan semua penulis blog..kan.. :)
Antara inspirasi aku dalam menulis blog ini ialah seorang penulis buku- Abd. Jalil Ali..
Aku terbaca kolumnya dalam majalah Keluarga (aku pembaca tegar majalah-kecuali "Mempelam" "Hello" atau "ABCD")..

Puas aku cari bukunya di gedung buku dan akhirnya kecanggihan teknologi berjaya mengatasi kesukaran aku..beli sahaja melalui pesanan maya..kan ke senang..

Dua buah buku yang sudah menjadi koleksi (dua buah buku pun berebut lagi dengan emak aku)...



Cerita yang disampaikan adalah berkisar dengan kehidupan seharian..apa yang ditulis memang ada yang terkena batang hidung sendiri! (selalu emak akulah yang terkena..heheh)

Tapi, baguslah..seolah-olah macam cermin..
Kalau tak, kita takkan tahu..
Pemerah bibir terkena pada gigi..
Pemerah pipi dah macam badut..
(kadang-kadang anak murid aku boleh jadi cermin yang baik!)


Bulan Disember

Tak lama dah...tinggal beberapa hari sahaja lagi..
Bilik aku dah bersepah dengan segala macam barang..(nak letak di bawah, anak buah baru belajar berjalan-habis dikemaskannya nanti)

Banggalah dengan diri sendiri..banyak urusan yang diselesaikan sendiri..pergi ke sana ke mari..(terima kasih emak dan akak aku serta Arissa si comel yang kadang-kadang menjadi peneman)

Menanti harinya dengan pelbagai perasaan!


*salam sayang*

21 November 2010

tak faham

"musykil ny .. ngeee .. dah uyh ilew tak msokk .. alip kate aq tipu larkz .. peyrh ,, ilew aq tol2 nk topup an .. ny yg jd .. ilew aq taknak topup an .. msokk .. ngee ..."


Ada sesiapa pembaca duniadahlia yang boleh menterjemahkan maksud ayat di atas..?
Ayat-ayat di atas, aku terjumpa dalam Facebook seseorang..masih di bangku sekolah.


Jadinya, kalau di bangku sekolah..mestilah subjek Bahasa Melayu berjam-jam lamanya ada dalam jadual waktu..pun jadi macam ini juga...kasihan cikgu Bahasa Melayu turun naik tangga..akhirnya tak ke mana juga bahasa anak muridnya.


Aku memang tak kan dan tak kan menyalahkan guru tersebut (bukan sebab aku juga seorang guru) tapi..aku tak percaya dan memang tak percaya seorang guru yang terlatih akan mengajar anak muridnya begitu.

Seorang guru Bahasa Melayu aku di Sekolah Menengah Sains Muar, pantang betul kalau ejaan salah..isi tidak menepati tajuk dan sebagainya..dicampak sahaja buku kami semua..tak kiralah,tercabut semua helaian ke atau paling tragis buku Bahasa Melayu tercampak jatuh ke dalam kolam dari tingkat 2! Tapi, akhirnya, Bahasa Melayu kami semua A1! Itulah cikgu kami - Cik Fatimah Daud,guru cemerlang Bahasa Melayu.


Semua orang punya hak untuk menarikan untaian ayat mereka..tetapi harus diingat..keindahan dan keaslian bahasa itu harus terus terpelihara...
Dan kerana itu, insyaAllah..duniadahlia akan terus mengekalkan ejaan yang betul dalam setiap entri..maaf, bukan mahu mengatakan blog yang menggunakan bahasa rojak itu tidak bagus..tetapi, ini sahajalah sumbangan kecil aku kepada Bahasa Melayu..

Kerana aku juga tidak mahu menjadi seeokor ketam..mengajar anaknya berjalan..


Aku bersungguh mengajar anak-anak pendidikan khas aku menulis dengan ejaan yang betul..(aku ketuk jari mereka kalau salah mengeja)..takkan aku mahu menjadi seperti ketam juga..


Kalau anak-anak murid pendidikan khas aku mampu dan berjaya menulis dengan betul..kenapa tidak kita..





*salam sayang*

18 November 2010

skala lebih besar?

Salam takziah buat mangsa-mangsa Gunung Merapi..menonton sahaja paparan di Majalah 3 baru-baru ini benar-benar menginsafkan..tak sanggup rasanya mahu melihat koleksi gambar tragedi Merapi..mengharukan dan menyedihkan...

Syukur..Alhamdulillah..kita di Malaysia..berada dalam zon selamat...moga kejadian pukulan ombak Tsunami tidak berulang...

Salam takziah juga kepada mangsa banjir di negeri-negeri utara tanah air...bukan mudah mahu membina semula kehidupan selepas bencana..baik  banjir mahupun kebakaran...

Cumanya...aku melakukan perbandingan situasi...

Malaysia baru sahaja diuji dengan bencana banjir..kuasa Allah yang bukan siapa-siapa dari kita mampu melawan dan menolaknya...

Tetapi,

Mengapa dalam keadaan musibah ujian bencana seperti banjir (yang mungkin pada mangsa Gunung Merapi tidaklah seteruk mana) terdapat perbalahan...
Mahu menunjuk siapa juara..siapa hero..

"Kami terlebih dahulu menghulur bantuan..kami tiba lebih awal bersama dengan mangsa.."
"Pihak yang satu lagi tak pernah menunjukkan muka..tidak bersama rakyat.."

Dalam bencana seperti ini mahu dikira lagi...?
Antara dacingnya yang seimbang..mahupun bulan yang senantiasa purnama..ataupun roket yang entah bila akan berlepas menuju bulan sabit kebiruan...

Aduhh...pening mengikuti warna kehidupan mereka...

Situasi ini..corak permainan ini..memang tak pernah aku terbaca dalam laporan tragedi Merapi..atau tragedi yang lain di negara mereka..
Sedangkan negara jiran ini punya banyak parti politik yang masing-masing punya aspirasi yang berbeza..
Tapi, apabila musibah tragedi yang acap kali berlaku dalam negara mereka...tidak satu pun pernah terbaca perbalahan seperti apa yang terjadi di negara kita...

Mungkin kerana itu Allah belum mahu menguji kita dengan skala yang lebih besar...

Kita masih kekurangan sesuatu...


(aku bukan parti mana-mana)


*salam sayang*

17 November 2010

masih mahu yang lama

Ada yang bertanya..kenapa tidak dimuat naik gambar kad undangan dalam Facebook dan juga dalam Duniadahlia...

Kerana..

Aku masih mahu yang lama..dan kami masih mahu yang lama...

Jika mahu dimuat naik, rasanya baik tempah hanya sekeping kad yang berharga 35sen...
Tapi, ini terpulang kepada bakal pengantin...
Aku dan encik tunang memang mahu meraikan detik ini dengan cara yang lama..walaupun mungkin mengambil sedikit masa dan wang(setem dah 60sen)..tapi, kami tetap berpuas hati...

Cumanya kami hanya meminta alamat sahaja di Facebook dan kemudian kami akan poskan kad..kesian kepada kawan-kawan yang mungkin tiada Facebook kan...

Satu yang aku masih mahu yang lama....

Muzik semasa hari kejadian nanti...

Sebenarnya tertarik dengan kumpulan ghazal semasa majlis perkahwinan sahabat baik Affezah Ali dan Nabil di Muar...tapi, apabila terlebih belanjawan untuk perkhidmatan kumpulan ghazal..terpaksalah mendiamkan diri...tapi, aku tetap berusaha tanya kawan-kawan..dan akhirnya...dapatlah aku sebuah kumpulan muzik tradisional...pening juga mak abah aku..melayan kehendak aku yang konon-konon ini..mana hendak diletakkannya kumpulan tersebut...hehehe..

Kenapa tak nak guna perkhidmatan DJ...
Sebab aku masih mahu yang lama...
Tengah seronok bergambar ke...bersanding ke...dengar pula lagu Cari Jodoh..haishh...dah jumpa jodohnya InsyaAllah berkekalan..mahu dicari apa lagi...(pandangan peribadi)
Ini semua berbalik kepada kemahuan bakal pengantin...
Aku ini mengada-ada sikit..(:

Encik tunang sudah punya pengalaman semasa perkahwinan kakak aku..
Harapnya dia sudah bersedia dengan majlis pernikahan yang agak lama..
dan juga persandingan malam berinai...ada bunga api! *emosi tak sabar di sini*
(terima kasih kepada kawan sekelas yang sudi menempahkan bunga api)

Apa juga persiapan..dan bagaimana mahu dilangsungkan majlis tersebut..adalah bergantung kepada bakal pengantin tersebut...memanglah seronok baca beberapa buah blog tentang persiapan pengantin...
Tapi, sebaiknya..apa yang kita termampu..itulah yang kita lakukan..

Harapnya, belanjawan aku tak defisit...mahu pergi berbulan madu!

Encik tunang..nak ke mana kita..? (:

*salam sayang*

14 November 2010

gunung sama lembah


Ini pemandangan dari Lembah  Bakkara di tepi Danau Toba..bilalah aku boleh melancong ke sana..cantik sangat pemandangan...

Ada tanah tinggi,gunung...ada sungai yang terus mengalir ke tasik...lukisan alam yang tidak akan ada tandingan dengan imaginasi..

Gunung didaki..lembah dituruni..

Dah ada di atas..kenapa nak turun ke bawah..?

Ada sebabnya...

Kerana di atas gunung biasanya tiada kemudahan air...
Lembahlah tempat yang paling mudah untuk mendapatkan air..


Persis hidup kita...
Bila ada di atas, apabila kita terlupa untuk turun ke bawah...apa akan jadi...?
Kita akan diusung turun ke bawah!


Hidup jangan sombong.
Walau di atas mana sekalipun..yang bawah itu tetap berharga dan bernilai.






*salam sayang*

12 November 2010

bahasa kita semua



Walaupun aku seorang guru pendidikan khas, tapi, pengetahuan mengenai bahasa isyarat boleh dikatakan tiada langsung..bolehlah sikit-sikit nak tahu yang asas..hukhukhuk..

Pengalaman paling menarik apabila diberi tugas mengawasi calon pekak dan bisu menduduki peperiksaan SPM tahun lepas..

Sudahlah aku memang tak tahu bahasa isyarat..kena pula bilik calon pekak bisu..memang agak termalu menjadi guru pendidikan khas yang tak berapa nak khas...tapi, dengan bantuan Cikgu Azizah yang memang mahir, dapatlah aku mempelajari sedikit bahasa isyarat..(terima kasih cikgu!)

Seronok tau bila tengok mereka ini berbual menggunakan bahasa isyarat..kita yang tengok ini macam galit seketika...ke ada yang tak nak pandang..? janganlah macam itu..kita yang bersalah..kerana tak memahami dunia mereka..

Sekiranya berminat..(tak susah pun sebenarnya)..bolehlah ke laman web ini..JAPEM..macam-macam tema disediakan..seronok!

Cumanya, kalau memang kita ini semua tidak pernah menggunakan bahasa isyarat atau
tahu bahasa isyarat tetapi tak mengamalkannya memanglah agak payah untuk menguasainya...


Tapi, bahasa mereka..tetap bahasa kita semua...



*salam sayang*

tepuk dahi nak tanya apa



Nasib baik buat muka marah pun comel ..heheh..

Agaknya comel tak muka aku masa marah murid aku...? hehehe..

Nak kata baik sangat tidak..nak kata garang sangat pun tidak..(penilaian diri sendiri)..

Entah macam mana..ketinggian kesabaran hilang..marah pun ye..sedih pun ye..geram pun ye..

Murid ini ibunya sudah meninggal.Ayahnya pula kurang siuman entah di mana.Dia dihantar ke sebuah pusat anak yatim dan disekolahkan. Kemahiran membaca dan mengeja bermula dari awal walaupun kain sekolah bewarna biru muda.
Kalau ikut pernyataan di atas, berdosalah kami kalau memarahi murid tersebut.

Awal tahun.
Murid ini entah macam mana ringan mulut menceritakan aktiviti sampingan yang dilakukannya beberapa kali di luar waktu persekolahan.(sebab akhirnya kami malas nak tanya berapa kali)
Pening juga kepala semasa kami mengendalikan kes dan sesi kaunseling bersamanya.
(Jangan fikir apa aktiviti tersebut.Di luar kotak pemikiran)
Intervensinya..kami mengandaikan mungkin dia kurang kasih sayang..dan kami akan cuba memberi perhatian kepadanya..

Akhir tahun..
Mula-mula nampak kain berconteng..ditegur..dia tersenyum.
Esoknya, datang sekolah dengan muka selamba tunjuk dengan aku baju PJ yang cikgu lain belikan untuknya habis diconteng..!
Sudahlah baju rasmi kelas berjaya dihilangkan dengan jayanya..malu agaknya ada tulisan Program Pendidikan Khas Integrasi Bermasalah Pembelajaran..
Setengah tahun dia tidak bersukan..sudah dibelikan baju..dicontengnya pula..
Entah mana pergi rasa bersyukur..

"Ini awak pakai kain yang awak conteng semalam ke?"
"Tak cikgu..ini kain lain."
Cikgu Dahlia ini percaya ke?
"Awak pusing belakang, angkat baju!"
Tadaaaa...hasil contengan semalam..


Habis ayat kami semua pagi tadi.
"Saya tak pernah nampak Cikgu Dahlia marah macam tadi".Anak murid kelas aku memberi komen.
"Tahniahlah, sebab sebelum awak habis belajar, awak dapat tengok Cikgu Dahlia mengamuk..heheh.."

Kebetulan semua guru lelaki dah bawa murid ke padang untuk PJ, tinggal beberapa orang guru perempuan.
Apa kami buat..?

Jeng..jeng..jeng..
Rupanya bukan hanya baju sahaja yang dicontengnya..ada sebahagian badannya turut diconteng!
Ini apa jenis masalah sebenarnya ini..?
Tepuk dahi kami semua.


Itulah duniadahlia...
Kadang-kadang boleh bergembira bersama murid-muridnya..
Kadang-kadang....air mata terjemahannya..


*salam sayang*

08 November 2010

anak modenisasi

Pertamanya...didoakan agar makcik aku kembali sihat seperti sediakala dan dibenarkan pulang dari hospital..

Pemerhatian dan pemandangan yang mencambahkan idea ketika menziarahi makcik yang kurang sihat di hospital.

Ada sebuah keluarga yang turut melawat ahli keluarga mereka di hospital..pasangan itu punya 2 orang anak lelaki kecil..mungkin si abang dalam lingkungan usia 9 tahun..dan adiknya mungkin berusia 7 tahun..

Si ibu dan si ayah berbual dengan ahli keluarga yang lain..tampak mesra..

Yang tak sedap mata memandang..

2 orang budak lelaki itu leka bermain sendirian..

Si abang melayan PSP tanpa mengendahkan suasana sekeliling...
Si adik bermain permainan dengan menggunakan telefon bimbit..
Sesekali keduanya mengerak-gerakkan badan..mengikut aksi permainan..

Tak perlu rasanya.

Kadang-kadang aku juga ditegur oleh mak kerana berbalas pesanan dengan encik tunang ketika di rumah orang..atau ketika sedang berbual dengan sanak saudara..
Kata emak..kurang manis..kurang sopan..
Yang ada depan mata kenapa tidak dilayan...yang jauh dilayan dengan asyik..
 Aku pun pernah merajuk dengan encik tunang, sudahlah lama tak jumpa..bila dah jumpa..sibuklah dengan PSPnya..

Patutlah Allayarham Yasmin Ahmad pernah menghasilkan sebuah iklan tv..kerana betul-betul berlaku dan akan terus berlaku..




Kita yang dewasa ini sebenarnya yang bersalah..
Mencorakkan senario ini..
Memang kita akan kata..teknologi mengubah segalanya..
Tapi, siapa yang mengawal teknologi..

Jika mahu mengejar teknologi,
Sekurang-kurangnya...ajarkanlah anak-anak kecil itu juga..
ketinggian tatasusila..kehalusan budaya...

Sebab..tak perlu rasanya suasana itu dalam anak modenisasi..



*salam sayang*

07 November 2010

mahu yang diingati

Tinggal lagi sebulan sahaja lagi majlis kami.

Aku tak pandai nak menggayakan bahasa di sini untuk menceritakan persiapan hari itu nanti..
Kerana, rasanya..masing-masing dan setiap dari kita punya impian dan inspirasi untuk hari itu kelak yang pasti mahu diingati..kalau tanya tips persiapan dari aku..memang aku tak mampu nak cakap..buat begini..buat begitu..ada duit..jalan! heheh..

Setakat ke hari ini, hampir 40% sudah diselesaikan..maksudnya dari segi persediaan awal..macam kad akan mula diedarkan..cenderahati sudah dibeli..apa yang perlu ditempah semua sudah ditempah..

Untuk kad..sesiapa yang ingin menempah kad, aku cadangkan untuk ke Kad Kahwin ZRGaleri Melaka..itu untuk yang berminat kepada yang menjimatkan koslah..kalau nak ekstravaganza siap ada gambar sebelum majlis(preshoot) bolehlah ke KadKahwin..
(ZR Galeri terletak bersebelahan dengan pasaraya Keluargaku,berhadapan pejabat Pos Besar Melaka)


"Tema warna apa?"
Memang paling belasah setakat ini..:)
Tunggu sahaja hari itu nanti.
Bilik cat lain..baju pengantin warna lain..baju ahli keluarga warna lain..kain khemah warna lain..
Memang pesta warna warni (seceria warna pensel!)


Khas untuk 10 orang pengunjung duniadahlia..(selain rakan-rakan yang sedia dikenali)..
Jika sudi, tinggalkanlah alamat..nanti kad akan diposkan sebagai jemputan tanda penghargaan..:)

gambar dari islamictesti
 
 
*salam sayang*

05 November 2010

eksplorasi ria

Musim peperiksaan dah pun habis...maka waktu-waktu ini dikira genting buat kami..

Jangan tak tahu, waktu-waktu ini anak-anak aku punya tenaga sangatlah berlebihan..boleh buat apa sahaja dalam sesaat mata terkelip.

Pelbagai aktiviti keriangan dirancang..yang dah selesai lawatan ke Cameron Highland..
Dan baru sahaja selesai..Program Eksplorasi Ria di Zoo Melaka...Terbaik!

Kali terakhir melawat Zoo Melaka ialah pada tahun 2003..beramai-ramai pergi dari Kolej Matrikulasi Melaka..jadinya dah 7 tahun tak jejak zoo.

Memang seronok sangat pergi zoo..
Program kami dinamakan Eksplorasi Ria..dengan bantuan kakitangan Zoo Melaka, kami dikehendaki mencari klu-klu di sekitar kawasan zoo..
Setiap cikgu akan mengiringi setiap kumpulan anak murid seramai 5 orang..
Memang seronok..
budak berlari..aku berjalan..
budak minum air telur campur dengan cencaluk..aku ambil gambar..
budak mencari klu..aku cakap cari sini..cari sana..
kan ke seronok aku..? heheh..

Tapi, bila budak seluk dan selongkar najis gajah..aku pun kena buat juga!
Dengan aroma yang menusuk ke hidung..dengan kepulan asap yang keluar dari longgokan najis gajah..
fuh! memang pengalaman yang menarik!

Nasib baik, tak kena pegang ular atau spesis yang sewaktu dengannya..
Nak elak macam mana pun, datang anak murid,ditolaknya aku pergi ke rumah reptilia..sedang elok pula ular sawa tengah salin kulit!

Waktu ini sahaja peluang mereka nak membuli cikgu..cit! :)

Kalau ada sesiapa yang rasa dah lama sangat tak ke zoo, pergilah melawat ke sana..memanglah kita akan cakap.."ala, apa yang ada di sana...semua binatang sahaja.."

Tapi, dalam pada kita cakap macam itu, kita pun terkial-kial juga nak menjawab kalau anak-anak kecil bertanya..
Emu itu apa?Burung yang boleh terbang ke tak?
Seladang ganas ke tak?
Tanduk rusa boleh tumbuh semula tak kalau patah?
 

Jadi..ayuh kita ke zoo!



*salam sayang*

04 November 2010

nak juga

Tahun lepas ketika persiapan majlis pertunangan rancak berjalan..macam-macam hal jadi pada kereta.

Saman ekor. Diekorkan ketika kereta dipandu melalui Lebuhraya AMJ di sekitar kawasan Kesang. Yang syahdunya, bukan aku yang pandu tapi saman itu aku jelaskan..hohoho..*diekorkan?*
Dah kena saman, tayar pula botak..siap pancit lagi nak pergi sekolah..tukar tayar..
Untuk kereta sahaja pada waktu itu hampir RM 600..
Aku nak bertunang, masa itu jugalah dia pun macam nak dibelai-belai..

Tahun ini..memang aku kumpul segala tentang kereta..dah rasa-rasa cukup masalah, baru aku hantarkan ke bengkel..(sebenarnya tunggu sah lantikan, jadinya agak kaya sedikit selepas itu..aiceceh..)

1. Radio rosak. tukar baru.
2. Pemegang pintu belakang patah.
3. Tingkap semua tak boleh turun kecuali tingkap pemandu(kalau terkentut, hanya ada satu laluan udara)
4. Penyaman udara yang tak berapa sejuk.servis.
5. Tukar pengelap tingkap (wiper).
6. "Central lock" rosak.Kena pergi Perodua.Bengkel tak boleh betulkan.
7. Lampu pada no pendaftaran belakang jatuh terkulai bersama wayarnya.

Semua sekali RM 450. Menarik.

Hadiah dari tuan punya bengkel - pewangi kereta. Bagi pada abah. :)




Dah selesa dengan kereta yang sudah kembali menjadi seperti kereta.
Heheheh...


*salam sayang*

jangan sampai tak sampai

Tatkala pulang memandu dari bengkel kereta lewat petang tadi, radio yang baru ditukarkan aku frekuensikan kepada frekuensi Radio Melaka..(jangan nak bangga sangat dengan stesyen radio swasta sampai tak mahu dan tak nak dengar radio negeri ye..)

Setiap petang tepat 6.30 petang akan disiarkan ceramah agama di Radio Melaka..malu ke nak dengar..?
Lagu Mizz Nina boleh pula dengar..

Petang tadi, topiknya kepada kasih sayang..menyuburkan kasih sayang..mencambahkan kasih sayang..
Agak terlewat untuk mendengar nama penceramah tersebut tapi memang ceramahnya kalau didengar secara langsung memang seronok.

Dalam ceramahnya, beliau menceritakan..tentang sesi kaunselingnya kepada sebuah keluarga yang mempunyai anak yang bermasalah..

Beliau tanyakan kepada si ibu dan si ayah yang menurut beliau soalan itu tidak patut ditanyakan..soalanya adakah mereka berdua sangat menyayangi anak mereka..menangis bercucuran kedua-duanya sambil berpelukan dan mengaku masih sayangkan anak mereka...
Mana ada ibu dan ayah yang tidak menyayangi anak..(tolak tepi kes buang bayi)

Ditanya juga penceramah itu soalan yang sama kepada si anak..adakah menyayangi ibu bapanya..
Sedihnya, anak itu menjawab..
"Jangan disebut tentang ibu ayah saya. Jangan ditanya tentang mereka!"

Aduh anak! Mungkin bergegar tiang syurga mendengar jawapan kamu.

Apa komen ustaz penceramah..?

Rumah yang disediakan oleh si ayah..belum sampai kasih sayangnya kepada anaknya..
Rezeki yang dicari si ayah..belum sampai rahmatnya kepada anaknya..
Masakan dan belaian si ibu..belum sampai kasih sayangnya kepada anaknya..
Pelukan si ibu semasa kecil..belum sampai rahmatnya kepada anaknya..


Kasih sayang itu belum sampai kepada anaknya..atau mungkin tidak sampai kepadanya..


Tapi, sendiri terjentik..bagaimana lagi caranya kasih sayang itu tersampai kepada si anak kalau si anak sendiri menolak hakikat bahawa mereka masih punya dua orang tua yang masih boleh dipeluk tatkala bernafas..? bukan dipeluk tika jasad kaku(itu pun jika sempat dicium dan dipeluk).

Aku bersyukur..

Peluh yang menitis dari mak dan abah saban hari menebar roti canai dan membungkus nasi lemak itu..rahmatnya..kasih sayangnya yang aku terima..tak pernah sekalipun terputus sehingga kini...
Doa mereka tak pernah sekalipun Engkau tolak..syukur Ya Allah..





Jangan sampai tak sampai.



*salam sayang*

03 November 2010

istimewa

Sebenarnya hidup kita ini dilingkungi oleh orang-orang yang teristimewa...walaupun kadang kala ada yang menjengkelkan..tetapi itulah keistimewaannya..

Berjaya menjengkelkan hati kita...:)



Kita pun sebenarnya istimewa pada orang lain...mungkin tanpa kita sedari...

Hargailah setiap keistimewaan yang diberikan...itulah kesempurnaan yang sebenarnya kita miliki..





Fizikal yang berbeza..kehidupan yang berbeza..
Cuma disatukan dengan erti persahabatan yang tak kan terputus...
*Selamat Pengantin Baru Rock!*





Begitu juga kepada semua kawan-kawan...
Dan pengunjung setia duniadahlia..
Andalah keistimewaan duniadahlia...
Terima kasih!!

 


*salam sayang*