dewandahlia

06 December 2010

entri pendek

Blog bukan berita. Blog bukan surat khabar.
Jadi adakalanya entri terhenti. Tiada idea baru atau kekangan masa.

Selamat Maal Hijrah 1432. Moga senantiasa diberkatiNya.



Menanti 4 Muharam.


*salam sayang*

30 November 2010

cuti

Sempat mencuri masa menaip apa yang terlintas.

"Ibubapa mana sanggup tengok anak terkilan melihat kehidupan mewah rakan-rakannya yang lain?"
"Anak terkilan melihat kawan-kawan bercuti"

Ayat tersebut dipetik dari sebuah akhbar harian yang ruangan iklan berbayarnya dibeli oleh sebuah syarikat minyak wangi.

Maksudnya anak-anak sekarang mengejar kemewahan sehingga memaksa ibu dan ayah mencari sumber pendapatan sampingan yang lain.
Kemewahan.

Ramai yang suka dengan cuti sekolah. Cikgu juga. (tetapi tidak jika tuntutan kerja belum disiapkan)

Lepas sahaja naik dari cuti sekolah..seminggu itu mesti kecoh bercerita musim percutian..

"Kau pergi mana? Papa aku bawa makan angin ke Sarawak..."

Yang mendengar terkulat-kulat..Seronoknya kawan dapat naik kapal terbang. Itu baru Sarawak..buatnya kawan dia cerita bercuti di luar negara..lagi melopong yang dengar..

Tapi,

Kalau aku jadi kawan yang mendengar..aku tak rasa terkilan..atau..balik rumah merengek-rengek pada mak dan abah minta dibawa ke Sarawak atau bercuti..

Itu adalah rezeki masing-masing.

Jika orang lain sibuk bercuti, aku pula sibuk membungkus nasi lemak.
Rezeki aku di situ. Itu juga rezeki keluarga aku.

Tak kiralah..cuti mingguan ke, cuti sekolah ke, cuti semester ke..dan sehingga kini,lagilah menjadi seorang guru yang punya banyak hari cuti, tangan aku masih pantas membungkus 12kg nasi lemak! (jika tenaga kerahan diperlukan mak)

Itulah pengalaman cuti aku.

Aku tak punya pengalaman cuti yang lain. Tapi, aku tak terkilan.
Jadi, iklan itu tidak sesuai untuk aku.



Moga aku diberi peluang membawa mak abah aku bercuti.








Dan aku akan terkilan kalau aku tak sempat.


*salam sayang*

24 November 2010

kalau memang dah sedap

Makan tengah hari keluarga aku adalah pukul 4 atau 5 petang...memang lain dan agak terlajak..memang itulah jadual waktunya..selalunya waktu tengah hari orang lain, mak dan abah aku akan mengemas kedai..itu pun untung kalau sempat masak...

Jadinya, bila aku balik dari sekolah, aku akan singgah di mana-mana kedai makan..dan bungkus lauk..
Memang selalulah juga makan lauk kedai..alah bisa tegal biasa..

Adalah beberapa senarai kedai makan tengah hari yang selalu aku singgah balik dari sekolah..

Tapi, yang tak menariknya bila ada yang memberitahu ada antara kedai yang ramai pelanggan tersebut dipenuhi dengan makhluk-makhluk yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar..

Memang betul pun kedai itu ramai pengunjung setianya..

Tapi, takkanlah semua kedai yang ramai pelanggan..menggunakan sisi gelap untuk mencari rezeki..susah juga kalau teori ini diterima pakai..
Memang tak dinafikan, ada yang menggunakan kaedah tersebut..sementelah ada yang bertanya kepada abah aku rahsia-rahsia sulit..abah aku nak jawab apa..memang tiada rahsia sulit,sisi gelap..hanya tawakal..doa mohon rezeki dilimpahkan..(Alhamdulillah, kami dua beradik lepasan universiti dengan abahnya seorang peniaga roti canai)..




Setakat ini, belum terdengarlah cerita menyatakan kedai Roti Canai Rosle Melaka Baru atau Roti Tampal Rosle Tepi Sungai menggunakan kaedah hitam sehingga warungnya tak putus dikunjungi..

Mahu makan penampar dari aku..

Susah payah peniaga warung makan atau kedai makan mencari rezeki..hanya mengharapkan kunjungan dari pelanggan untuk mencari sesuap rezeki halal..kenapa cerita itu atau cerita ini lebih disensasikan..lebih dijaja dari mulut ke mulut..kalau terdengar pun, senyap sunyikan diri..

Pergi sahaja ke kedai itu..dengan niat..untuk makan..agar dapat terus hidup beribadah dan mencari sesuap rezeki..jangan lupa membaca doa sebelum dan selepas makan..insyaAllah, suapan nasi itu lebih berkat dari memikirkan betul ke ada yang tak nampak di kedai tersebut...

Ini kalau makan pun tak baca doa..macam mana..

Dan kalau memang dah sedap...


*salam sayang*

23 November 2010

tiga

Entri ditaip dan dikarang semasa menunggu anak-anak murid menduduki peperiksaan SPM..(baik tak kami-aku dan rakan-rakan..? heheh..)

SPM

Mahu tak berdebar..murid Pendidikan Khas,menduduki peperiksaan SPM..
Kira dah berjaya mereka itu semua..kerana pada awalnya membaca dan menulis masih perlukan bimbingan..tetapi untuk peperiksaan sebesar ini, hanya doa mengiringi mereka..
Dah hebat dah...tahniah kamu semua!! (kepada guru-guru juga)

Kertas pertama tadi..tersenyum sahaja mereka berdua keluar dewan...aishhh..budak-budak ini boleh ke tak menjawab..cikgunya pun risau semacam..
(agaknya emak aku dulu macam ini agaknya)..
 

Buku.

Menjadi seorang penulis blog, memang aku rajin menjengah blog-blog lain..memang boleh buat kawan semua penulis blog..kan.. :)
Antara inspirasi aku dalam menulis blog ini ialah seorang penulis buku- Abd. Jalil Ali..
Aku terbaca kolumnya dalam majalah Keluarga (aku pembaca tegar majalah-kecuali "Mempelam" "Hello" atau "ABCD")..

Puas aku cari bukunya di gedung buku dan akhirnya kecanggihan teknologi berjaya mengatasi kesukaran aku..beli sahaja melalui pesanan maya..kan ke senang..

Dua buah buku yang sudah menjadi koleksi (dua buah buku pun berebut lagi dengan emak aku)...



Cerita yang disampaikan adalah berkisar dengan kehidupan seharian..apa yang ditulis memang ada yang terkena batang hidung sendiri! (selalu emak akulah yang terkena..heheh)

Tapi, baguslah..seolah-olah macam cermin..
Kalau tak, kita takkan tahu..
Pemerah bibir terkena pada gigi..
Pemerah pipi dah macam badut..
(kadang-kadang anak murid aku boleh jadi cermin yang baik!)


Bulan Disember

Tak lama dah...tinggal beberapa hari sahaja lagi..
Bilik aku dah bersepah dengan segala macam barang..(nak letak di bawah, anak buah baru belajar berjalan-habis dikemaskannya nanti)

Banggalah dengan diri sendiri..banyak urusan yang diselesaikan sendiri..pergi ke sana ke mari..(terima kasih emak dan akak aku serta Arissa si comel yang kadang-kadang menjadi peneman)

Menanti harinya dengan pelbagai perasaan!


*salam sayang*

21 November 2010

tak faham

"musykil ny .. ngeee .. dah uyh ilew tak msokk .. alip kate aq tipu larkz .. peyrh ,, ilew aq tol2 nk topup an .. ny yg jd .. ilew aq taknak topup an .. msokk .. ngee ..."


Ada sesiapa pembaca duniadahlia yang boleh menterjemahkan maksud ayat di atas..?
Ayat-ayat di atas, aku terjumpa dalam Facebook seseorang..masih di bangku sekolah.


Jadinya, kalau di bangku sekolah..mestilah subjek Bahasa Melayu berjam-jam lamanya ada dalam jadual waktu..pun jadi macam ini juga...kasihan cikgu Bahasa Melayu turun naik tangga..akhirnya tak ke mana juga bahasa anak muridnya.


Aku memang tak kan dan tak kan menyalahkan guru tersebut (bukan sebab aku juga seorang guru) tapi..aku tak percaya dan memang tak percaya seorang guru yang terlatih akan mengajar anak muridnya begitu.

Seorang guru Bahasa Melayu aku di Sekolah Menengah Sains Muar, pantang betul kalau ejaan salah..isi tidak menepati tajuk dan sebagainya..dicampak sahaja buku kami semua..tak kiralah,tercabut semua helaian ke atau paling tragis buku Bahasa Melayu tercampak jatuh ke dalam kolam dari tingkat 2! Tapi, akhirnya, Bahasa Melayu kami semua A1! Itulah cikgu kami - Cik Fatimah Daud,guru cemerlang Bahasa Melayu.


Semua orang punya hak untuk menarikan untaian ayat mereka..tetapi harus diingat..keindahan dan keaslian bahasa itu harus terus terpelihara...
Dan kerana itu, insyaAllah..duniadahlia akan terus mengekalkan ejaan yang betul dalam setiap entri..maaf, bukan mahu mengatakan blog yang menggunakan bahasa rojak itu tidak bagus..tetapi, ini sahajalah sumbangan kecil aku kepada Bahasa Melayu..

Kerana aku juga tidak mahu menjadi seeokor ketam..mengajar anaknya berjalan..


Aku bersungguh mengajar anak-anak pendidikan khas aku menulis dengan ejaan yang betul..(aku ketuk jari mereka kalau salah mengeja)..takkan aku mahu menjadi seperti ketam juga..


Kalau anak-anak murid pendidikan khas aku mampu dan berjaya menulis dengan betul..kenapa tidak kita..





*salam sayang*

18 November 2010

skala lebih besar?

Salam takziah buat mangsa-mangsa Gunung Merapi..menonton sahaja paparan di Majalah 3 baru-baru ini benar-benar menginsafkan..tak sanggup rasanya mahu melihat koleksi gambar tragedi Merapi..mengharukan dan menyedihkan...

Syukur..Alhamdulillah..kita di Malaysia..berada dalam zon selamat...moga kejadian pukulan ombak Tsunami tidak berulang...

Salam takziah juga kepada mangsa banjir di negeri-negeri utara tanah air...bukan mudah mahu membina semula kehidupan selepas bencana..baik  banjir mahupun kebakaran...

Cumanya...aku melakukan perbandingan situasi...

Malaysia baru sahaja diuji dengan bencana banjir..kuasa Allah yang bukan siapa-siapa dari kita mampu melawan dan menolaknya...

Tetapi,

Mengapa dalam keadaan musibah ujian bencana seperti banjir (yang mungkin pada mangsa Gunung Merapi tidaklah seteruk mana) terdapat perbalahan...
Mahu menunjuk siapa juara..siapa hero..

"Kami terlebih dahulu menghulur bantuan..kami tiba lebih awal bersama dengan mangsa.."
"Pihak yang satu lagi tak pernah menunjukkan muka..tidak bersama rakyat.."

Dalam bencana seperti ini mahu dikira lagi...?
Antara dacingnya yang seimbang..mahupun bulan yang senantiasa purnama..ataupun roket yang entah bila akan berlepas menuju bulan sabit kebiruan...

Aduhh...pening mengikuti warna kehidupan mereka...

Situasi ini..corak permainan ini..memang tak pernah aku terbaca dalam laporan tragedi Merapi..atau tragedi yang lain di negara mereka..
Sedangkan negara jiran ini punya banyak parti politik yang masing-masing punya aspirasi yang berbeza..
Tapi, apabila musibah tragedi yang acap kali berlaku dalam negara mereka...tidak satu pun pernah terbaca perbalahan seperti apa yang terjadi di negara kita...

Mungkin kerana itu Allah belum mahu menguji kita dengan skala yang lebih besar...

Kita masih kekurangan sesuatu...


(aku bukan parti mana-mana)


*salam sayang*

17 November 2010

masih mahu yang lama

Ada yang bertanya..kenapa tidak dimuat naik gambar kad undangan dalam Facebook dan juga dalam Duniadahlia...

Kerana..

Aku masih mahu yang lama..dan kami masih mahu yang lama...

Jika mahu dimuat naik, rasanya baik tempah hanya sekeping kad yang berharga 35sen...
Tapi, ini terpulang kepada bakal pengantin...
Aku dan encik tunang memang mahu meraikan detik ini dengan cara yang lama..walaupun mungkin mengambil sedikit masa dan wang(setem dah 60sen)..tapi, kami tetap berpuas hati...

Cumanya kami hanya meminta alamat sahaja di Facebook dan kemudian kami akan poskan kad..kesian kepada kawan-kawan yang mungkin tiada Facebook kan...

Satu yang aku masih mahu yang lama....

Muzik semasa hari kejadian nanti...

Sebenarnya tertarik dengan kumpulan ghazal semasa majlis perkahwinan sahabat baik Affezah Ali dan Nabil di Muar...tapi, apabila terlebih belanjawan untuk perkhidmatan kumpulan ghazal..terpaksalah mendiamkan diri...tapi, aku tetap berusaha tanya kawan-kawan..dan akhirnya...dapatlah aku sebuah kumpulan muzik tradisional...pening juga mak abah aku..melayan kehendak aku yang konon-konon ini..mana hendak diletakkannya kumpulan tersebut...hehehe..

Kenapa tak nak guna perkhidmatan DJ...
Sebab aku masih mahu yang lama...
Tengah seronok bergambar ke...bersanding ke...dengar pula lagu Cari Jodoh..haishh...dah jumpa jodohnya InsyaAllah berkekalan..mahu dicari apa lagi...(pandangan peribadi)
Ini semua berbalik kepada kemahuan bakal pengantin...
Aku ini mengada-ada sikit..(:

Encik tunang sudah punya pengalaman semasa perkahwinan kakak aku..
Harapnya dia sudah bersedia dengan majlis pernikahan yang agak lama..
dan juga persandingan malam berinai...ada bunga api! *emosi tak sabar di sini*
(terima kasih kepada kawan sekelas yang sudi menempahkan bunga api)

Apa juga persiapan..dan bagaimana mahu dilangsungkan majlis tersebut..adalah bergantung kepada bakal pengantin tersebut...memanglah seronok baca beberapa buah blog tentang persiapan pengantin...
Tapi, sebaiknya..apa yang kita termampu..itulah yang kita lakukan..

Harapnya, belanjawan aku tak defisit...mahu pergi berbulan madu!

Encik tunang..nak ke mana kita..? (:

*salam sayang*

14 November 2010

gunung sama lembah


Ini pemandangan dari Lembah  Bakkara di tepi Danau Toba..bilalah aku boleh melancong ke sana..cantik sangat pemandangan...

Ada tanah tinggi,gunung...ada sungai yang terus mengalir ke tasik...lukisan alam yang tidak akan ada tandingan dengan imaginasi..

Gunung didaki..lembah dituruni..

Dah ada di atas..kenapa nak turun ke bawah..?

Ada sebabnya...

Kerana di atas gunung biasanya tiada kemudahan air...
Lembahlah tempat yang paling mudah untuk mendapatkan air..


Persis hidup kita...
Bila ada di atas, apabila kita terlupa untuk turun ke bawah...apa akan jadi...?
Kita akan diusung turun ke bawah!


Hidup jangan sombong.
Walau di atas mana sekalipun..yang bawah itu tetap berharga dan bernilai.






*salam sayang*

12 November 2010

bahasa kita semua



Walaupun aku seorang guru pendidikan khas, tapi, pengetahuan mengenai bahasa isyarat boleh dikatakan tiada langsung..bolehlah sikit-sikit nak tahu yang asas..hukhukhuk..

Pengalaman paling menarik apabila diberi tugas mengawasi calon pekak dan bisu menduduki peperiksaan SPM tahun lepas..

Sudahlah aku memang tak tahu bahasa isyarat..kena pula bilik calon pekak bisu..memang agak termalu menjadi guru pendidikan khas yang tak berapa nak khas...tapi, dengan bantuan Cikgu Azizah yang memang mahir, dapatlah aku mempelajari sedikit bahasa isyarat..(terima kasih cikgu!)

Seronok tau bila tengok mereka ini berbual menggunakan bahasa isyarat..kita yang tengok ini macam galit seketika...ke ada yang tak nak pandang..? janganlah macam itu..kita yang bersalah..kerana tak memahami dunia mereka..

Sekiranya berminat..(tak susah pun sebenarnya)..bolehlah ke laman web ini..JAPEM..macam-macam tema disediakan..seronok!

Cumanya, kalau memang kita ini semua tidak pernah menggunakan bahasa isyarat atau
tahu bahasa isyarat tetapi tak mengamalkannya memanglah agak payah untuk menguasainya...


Tapi, bahasa mereka..tetap bahasa kita semua...



*salam sayang*

tepuk dahi nak tanya apa



Nasib baik buat muka marah pun comel ..heheh..

Agaknya comel tak muka aku masa marah murid aku...? hehehe..

Nak kata baik sangat tidak..nak kata garang sangat pun tidak..(penilaian diri sendiri)..

Entah macam mana..ketinggian kesabaran hilang..marah pun ye..sedih pun ye..geram pun ye..

Murid ini ibunya sudah meninggal.Ayahnya pula kurang siuman entah di mana.Dia dihantar ke sebuah pusat anak yatim dan disekolahkan. Kemahiran membaca dan mengeja bermula dari awal walaupun kain sekolah bewarna biru muda.
Kalau ikut pernyataan di atas, berdosalah kami kalau memarahi murid tersebut.

Awal tahun.
Murid ini entah macam mana ringan mulut menceritakan aktiviti sampingan yang dilakukannya beberapa kali di luar waktu persekolahan.(sebab akhirnya kami malas nak tanya berapa kali)
Pening juga kepala semasa kami mengendalikan kes dan sesi kaunseling bersamanya.
(Jangan fikir apa aktiviti tersebut.Di luar kotak pemikiran)
Intervensinya..kami mengandaikan mungkin dia kurang kasih sayang..dan kami akan cuba memberi perhatian kepadanya..

Akhir tahun..
Mula-mula nampak kain berconteng..ditegur..dia tersenyum.
Esoknya, datang sekolah dengan muka selamba tunjuk dengan aku baju PJ yang cikgu lain belikan untuknya habis diconteng..!
Sudahlah baju rasmi kelas berjaya dihilangkan dengan jayanya..malu agaknya ada tulisan Program Pendidikan Khas Integrasi Bermasalah Pembelajaran..
Setengah tahun dia tidak bersukan..sudah dibelikan baju..dicontengnya pula..
Entah mana pergi rasa bersyukur..

"Ini awak pakai kain yang awak conteng semalam ke?"
"Tak cikgu..ini kain lain."
Cikgu Dahlia ini percaya ke?
"Awak pusing belakang, angkat baju!"
Tadaaaa...hasil contengan semalam..


Habis ayat kami semua pagi tadi.
"Saya tak pernah nampak Cikgu Dahlia marah macam tadi".Anak murid kelas aku memberi komen.
"Tahniahlah, sebab sebelum awak habis belajar, awak dapat tengok Cikgu Dahlia mengamuk..heheh.."

Kebetulan semua guru lelaki dah bawa murid ke padang untuk PJ, tinggal beberapa orang guru perempuan.
Apa kami buat..?

Jeng..jeng..jeng..
Rupanya bukan hanya baju sahaja yang dicontengnya..ada sebahagian badannya turut diconteng!
Ini apa jenis masalah sebenarnya ini..?
Tepuk dahi kami semua.


Itulah duniadahlia...
Kadang-kadang boleh bergembira bersama murid-muridnya..
Kadang-kadang....air mata terjemahannya..


*salam sayang*

08 November 2010

anak modenisasi

Pertamanya...didoakan agar makcik aku kembali sihat seperti sediakala dan dibenarkan pulang dari hospital..

Pemerhatian dan pemandangan yang mencambahkan idea ketika menziarahi makcik yang kurang sihat di hospital.

Ada sebuah keluarga yang turut melawat ahli keluarga mereka di hospital..pasangan itu punya 2 orang anak lelaki kecil..mungkin si abang dalam lingkungan usia 9 tahun..dan adiknya mungkin berusia 7 tahun..

Si ibu dan si ayah berbual dengan ahli keluarga yang lain..tampak mesra..

Yang tak sedap mata memandang..

2 orang budak lelaki itu leka bermain sendirian..

Si abang melayan PSP tanpa mengendahkan suasana sekeliling...
Si adik bermain permainan dengan menggunakan telefon bimbit..
Sesekali keduanya mengerak-gerakkan badan..mengikut aksi permainan..

Tak perlu rasanya.

Kadang-kadang aku juga ditegur oleh mak kerana berbalas pesanan dengan encik tunang ketika di rumah orang..atau ketika sedang berbual dengan sanak saudara..
Kata emak..kurang manis..kurang sopan..
Yang ada depan mata kenapa tidak dilayan...yang jauh dilayan dengan asyik..
 Aku pun pernah merajuk dengan encik tunang, sudahlah lama tak jumpa..bila dah jumpa..sibuklah dengan PSPnya..

Patutlah Allayarham Yasmin Ahmad pernah menghasilkan sebuah iklan tv..kerana betul-betul berlaku dan akan terus berlaku..




Kita yang dewasa ini sebenarnya yang bersalah..
Mencorakkan senario ini..
Memang kita akan kata..teknologi mengubah segalanya..
Tapi, siapa yang mengawal teknologi..

Jika mahu mengejar teknologi,
Sekurang-kurangnya...ajarkanlah anak-anak kecil itu juga..
ketinggian tatasusila..kehalusan budaya...

Sebab..tak perlu rasanya suasana itu dalam anak modenisasi..



*salam sayang*

07 November 2010

mahu yang diingati

Tinggal lagi sebulan sahaja lagi majlis kami.

Aku tak pandai nak menggayakan bahasa di sini untuk menceritakan persiapan hari itu nanti..
Kerana, rasanya..masing-masing dan setiap dari kita punya impian dan inspirasi untuk hari itu kelak yang pasti mahu diingati..kalau tanya tips persiapan dari aku..memang aku tak mampu nak cakap..buat begini..buat begitu..ada duit..jalan! heheh..

Setakat ke hari ini, hampir 40% sudah diselesaikan..maksudnya dari segi persediaan awal..macam kad akan mula diedarkan..cenderahati sudah dibeli..apa yang perlu ditempah semua sudah ditempah..

Untuk kad..sesiapa yang ingin menempah kad, aku cadangkan untuk ke Kad Kahwin ZRGaleri Melaka..itu untuk yang berminat kepada yang menjimatkan koslah..kalau nak ekstravaganza siap ada gambar sebelum majlis(preshoot) bolehlah ke KadKahwin..
(ZR Galeri terletak bersebelahan dengan pasaraya Keluargaku,berhadapan pejabat Pos Besar Melaka)


"Tema warna apa?"
Memang paling belasah setakat ini..:)
Tunggu sahaja hari itu nanti.
Bilik cat lain..baju pengantin warna lain..baju ahli keluarga warna lain..kain khemah warna lain..
Memang pesta warna warni (seceria warna pensel!)


Khas untuk 10 orang pengunjung duniadahlia..(selain rakan-rakan yang sedia dikenali)..
Jika sudi, tinggalkanlah alamat..nanti kad akan diposkan sebagai jemputan tanda penghargaan..:)

gambar dari islamictesti
 
 
*salam sayang*

05 November 2010

eksplorasi ria

Musim peperiksaan dah pun habis...maka waktu-waktu ini dikira genting buat kami..

Jangan tak tahu, waktu-waktu ini anak-anak aku punya tenaga sangatlah berlebihan..boleh buat apa sahaja dalam sesaat mata terkelip.

Pelbagai aktiviti keriangan dirancang..yang dah selesai lawatan ke Cameron Highland..
Dan baru sahaja selesai..Program Eksplorasi Ria di Zoo Melaka...Terbaik!

Kali terakhir melawat Zoo Melaka ialah pada tahun 2003..beramai-ramai pergi dari Kolej Matrikulasi Melaka..jadinya dah 7 tahun tak jejak zoo.

Memang seronok sangat pergi zoo..
Program kami dinamakan Eksplorasi Ria..dengan bantuan kakitangan Zoo Melaka, kami dikehendaki mencari klu-klu di sekitar kawasan zoo..
Setiap cikgu akan mengiringi setiap kumpulan anak murid seramai 5 orang..
Memang seronok..
budak berlari..aku berjalan..
budak minum air telur campur dengan cencaluk..aku ambil gambar..
budak mencari klu..aku cakap cari sini..cari sana..
kan ke seronok aku..? heheh..

Tapi, bila budak seluk dan selongkar najis gajah..aku pun kena buat juga!
Dengan aroma yang menusuk ke hidung..dengan kepulan asap yang keluar dari longgokan najis gajah..
fuh! memang pengalaman yang menarik!

Nasib baik, tak kena pegang ular atau spesis yang sewaktu dengannya..
Nak elak macam mana pun, datang anak murid,ditolaknya aku pergi ke rumah reptilia..sedang elok pula ular sawa tengah salin kulit!

Waktu ini sahaja peluang mereka nak membuli cikgu..cit! :)

Kalau ada sesiapa yang rasa dah lama sangat tak ke zoo, pergilah melawat ke sana..memanglah kita akan cakap.."ala, apa yang ada di sana...semua binatang sahaja.."

Tapi, dalam pada kita cakap macam itu, kita pun terkial-kial juga nak menjawab kalau anak-anak kecil bertanya..
Emu itu apa?Burung yang boleh terbang ke tak?
Seladang ganas ke tak?
Tanduk rusa boleh tumbuh semula tak kalau patah?
 

Jadi..ayuh kita ke zoo!



*salam sayang*

04 November 2010

nak juga

Tahun lepas ketika persiapan majlis pertunangan rancak berjalan..macam-macam hal jadi pada kereta.

Saman ekor. Diekorkan ketika kereta dipandu melalui Lebuhraya AMJ di sekitar kawasan Kesang. Yang syahdunya, bukan aku yang pandu tapi saman itu aku jelaskan..hohoho..*diekorkan?*
Dah kena saman, tayar pula botak..siap pancit lagi nak pergi sekolah..tukar tayar..
Untuk kereta sahaja pada waktu itu hampir RM 600..
Aku nak bertunang, masa itu jugalah dia pun macam nak dibelai-belai..

Tahun ini..memang aku kumpul segala tentang kereta..dah rasa-rasa cukup masalah, baru aku hantarkan ke bengkel..(sebenarnya tunggu sah lantikan, jadinya agak kaya sedikit selepas itu..aiceceh..)

1. Radio rosak. tukar baru.
2. Pemegang pintu belakang patah.
3. Tingkap semua tak boleh turun kecuali tingkap pemandu(kalau terkentut, hanya ada satu laluan udara)
4. Penyaman udara yang tak berapa sejuk.servis.
5. Tukar pengelap tingkap (wiper).
6. "Central lock" rosak.Kena pergi Perodua.Bengkel tak boleh betulkan.
7. Lampu pada no pendaftaran belakang jatuh terkulai bersama wayarnya.

Semua sekali RM 450. Menarik.

Hadiah dari tuan punya bengkel - pewangi kereta. Bagi pada abah. :)




Dah selesa dengan kereta yang sudah kembali menjadi seperti kereta.
Heheheh...


*salam sayang*

jangan sampai tak sampai

Tatkala pulang memandu dari bengkel kereta lewat petang tadi, radio yang baru ditukarkan aku frekuensikan kepada frekuensi Radio Melaka..(jangan nak bangga sangat dengan stesyen radio swasta sampai tak mahu dan tak nak dengar radio negeri ye..)

Setiap petang tepat 6.30 petang akan disiarkan ceramah agama di Radio Melaka..malu ke nak dengar..?
Lagu Mizz Nina boleh pula dengar..

Petang tadi, topiknya kepada kasih sayang..menyuburkan kasih sayang..mencambahkan kasih sayang..
Agak terlewat untuk mendengar nama penceramah tersebut tapi memang ceramahnya kalau didengar secara langsung memang seronok.

Dalam ceramahnya, beliau menceritakan..tentang sesi kaunselingnya kepada sebuah keluarga yang mempunyai anak yang bermasalah..

Beliau tanyakan kepada si ibu dan si ayah yang menurut beliau soalan itu tidak patut ditanyakan..soalanya adakah mereka berdua sangat menyayangi anak mereka..menangis bercucuran kedua-duanya sambil berpelukan dan mengaku masih sayangkan anak mereka...
Mana ada ibu dan ayah yang tidak menyayangi anak..(tolak tepi kes buang bayi)

Ditanya juga penceramah itu soalan yang sama kepada si anak..adakah menyayangi ibu bapanya..
Sedihnya, anak itu menjawab..
"Jangan disebut tentang ibu ayah saya. Jangan ditanya tentang mereka!"

Aduh anak! Mungkin bergegar tiang syurga mendengar jawapan kamu.

Apa komen ustaz penceramah..?

Rumah yang disediakan oleh si ayah..belum sampai kasih sayangnya kepada anaknya..
Rezeki yang dicari si ayah..belum sampai rahmatnya kepada anaknya..
Masakan dan belaian si ibu..belum sampai kasih sayangnya kepada anaknya..
Pelukan si ibu semasa kecil..belum sampai rahmatnya kepada anaknya..


Kasih sayang itu belum sampai kepada anaknya..atau mungkin tidak sampai kepadanya..


Tapi, sendiri terjentik..bagaimana lagi caranya kasih sayang itu tersampai kepada si anak kalau si anak sendiri menolak hakikat bahawa mereka masih punya dua orang tua yang masih boleh dipeluk tatkala bernafas..? bukan dipeluk tika jasad kaku(itu pun jika sempat dicium dan dipeluk).

Aku bersyukur..

Peluh yang menitis dari mak dan abah saban hari menebar roti canai dan membungkus nasi lemak itu..rahmatnya..kasih sayangnya yang aku terima..tak pernah sekalipun terputus sehingga kini...
Doa mereka tak pernah sekalipun Engkau tolak..syukur Ya Allah..





Jangan sampai tak sampai.



*salam sayang*

03 November 2010

istimewa

Sebenarnya hidup kita ini dilingkungi oleh orang-orang yang teristimewa...walaupun kadang kala ada yang menjengkelkan..tetapi itulah keistimewaannya..

Berjaya menjengkelkan hati kita...:)



Kita pun sebenarnya istimewa pada orang lain...mungkin tanpa kita sedari...

Hargailah setiap keistimewaan yang diberikan...itulah kesempurnaan yang sebenarnya kita miliki..





Fizikal yang berbeza..kehidupan yang berbeza..
Cuma disatukan dengan erti persahabatan yang tak kan terputus...
*Selamat Pengantin Baru Rock!*





Begitu juga kepada semua kawan-kawan...
Dan pengunjung setia duniadahlia..
Andalah keistimewaan duniadahlia...
Terima kasih!!

 


*salam sayang*

27 October 2010

kasut kita tetap lain

Padah apabila terbeli kasut yang sama corak cuma berlainan warna dengan kawan sekelas...akhirnya, kami tertukar kasut semasa pulang dari sekolah.Terbahak-bahak ketawa..bila masa pula kasut aku dari warna hitam jadi warna coklat..

Walau corak dan saiz yang sama, tapi kasut kita tetap lain.
Aku cuba juga sarungkan kasut itu.
Selesanya tidak sama.

Seperti hidup kita.
Benda atau perkara yang sama. Dilalui bersama.
 Tetapi,persepsi kita berbeza.
Cara kita menginterprestasikannya juga berbeza.

Bila aku menyarungkan kasut itu, baru aku tau selesanya aku dan selesanya kawan aku itu berbeza.

Dan kaki aku menerima ketidakselesaan itu tanpa banyak soal.(nak ke pergi ke pejabat dengan kaki ayam?)

Itulah tolenrasi.Tanpa prejudis.

Adakalanya kita perlu dan sangat perlu meletakkan diri kita dalam situasi orang lain.

Andai aku begitu, adakah aku akan begitu?
Atau..
Andai aku begitu, adakah aku akan melalui lebih teruk dari apa yang dilaluinya?

Bersyukurlah dengan apa yang kita lalui sekarang ini. Dan berbanggalah dengan apa yang telah kita lalui bersama.

Dan jangan lupa, letakkan diri kita di tempat yang lain juga, kerana kita mungkin akan berada dalam situasinya kelak.

Kerana..






Kasut kita tetap lain.

*salam sayang*

24 October 2010

Cameron Highland punya cerita

Cerita 1.

Sudah 4 jam bertolak dari sekolah ke Cameron Highland. Tenaga anak murid aku macam berlebihan pula. Tak tidur-tidur walau sudah pukul 2 pagi.

"Awak pindah duduk sebelah saya sekarang.." geram sangat,jadi aku arahkan duduk sebelah aku.

"Alamak...kena duduk sebelah mak."

"Senang, mak dodoikan." jawab aku.

Sampai ke Cameron Highland baru dia bangun.

"Dah sampai ye mak..?"

Suruh tidur pun susah.


Cerita 2.

"Awak nak tidur atau awak nak gasing awak tak sempat sampai Melaka.?"

Dalam keadaan sejuk mengigil pukul 10 malam..anak aku boleh main gasing lagi!
Cikgu dah tak tahan sejuk, dia selamba sahaja main kat luar bilik.
Anak autisma..akan galit dan leka dengan sesuatu perkara atau benda.

Masuk bilik tak sampai 5 minit, dia keluar balik dengan gasing!

"Tidur!"

Masuk bilik terus tak keluar.



Cerita 3.

"Sekejap sahaja masuk bilik air..dah basuh muka? dah gosok gigi?"

"Heheh..lupalah cikgu..."

"Awak lupa??! Bangun tidur pagi lupa gosok gigi, basuh muka..masuk sekarang mandi!"

Anak-anak...sungguhlah istimewa kamu.

*Peristiwa yang diceritakan kembali oleh rakan guru*


Cerita 4.

"Cikgu jalanlah dulu..saya penat..nak rehat sekejap."

Baik punya tempat dia pilih berehat bawah pokok. Aku pun tunggulah dia berehat sambil menikmati pemandangan kebun teh.

"Ala..cikgu jalanlah dulu."

"Aik, kenapa awak nak cikgu jalan awak nak duduk pula?"

Senyum-senyum dia pandang aku.

Faham dah aku.

"Awak ingat cikgu tak tahu awak nak bercinta dengan makwe awak kat kebun teh?!"
"Awak ingat Cikgu Dahlia tiba-tiba umur 25 tahun ye? Bangun..! Jalan dengan saya."

Satu kebun teh aku bawa dia jalan.

Kalau nak mengakalkan cikgu,tersangatlah pandai. Tapi, maaflah ye, Cikgu Dahlia dulu nakal..idea lapuklah awak buat.


Cerita 5.

"Cikgu, saya dapat kepala ikan,isi tiada pun.." adu si A.

Aku yang baru satu cubit merasa ikan masak asam terus kenyang. Tak sampai hati nak terus menyuap.

"Ambillah cikgu punya.."

"Habis itu cikgu tiada lauk nanti.." si A berkata.

"Kalau cikgu dah tiada lauk, saya nak sikit nasi cikgu..saya lapar.." si B pula berkata.

*Tak mengapalah anak, cikgu boleh berlapar untuk kamu*





Bersama mereka adalah terlalu istimewa.

Terima kasih anak-anak.





*salam sayang*



(Kami bercadang mahu ke Sarawak tahun hadapan.Moga ada yang sudi menghulurkan sumbangan.)

19 October 2010

khilaf yang terkesan

Duduk di hadapan komputer..menaip entah berapa kali yang harus dipadamkan untuk mendapatkan teks juruacara yang sedap dibaca..yang sedap didengar..2 hari,2 majlis,2 teks juruacara..tahniah Dahlia!

Dan akhirnya jam 1 pagi barulah aku berpuas hati dengan teks juruacara..yang telah pun dibacakan pada petang tadi.

Tahun ini boleh dikatakan antara tahun mengutip seberapa banyak pengalaman menjadi juruacara..

Dari menjadi juruacara di hari sukan, menjadi juruacara perasmian minggu kemerdekaan sehinggalah yang terbaik akan dikenang ialah menjadi juruacara lawatan kerja Ketua Menteri Melaka ke sekolah..
Alhamdulillah..segala yang direncanakan berjaya dan majlis berjalan dengan lancar..

Cumanya, cabaran petang tadi benar-benar memerlukan kekuatan mental...bukan soal vitamin K yang kurang..
Tapi,apabila mungkin kecacatan majlis itu terlalu besar nampaknya..maka,tidak lain juruacara adalah orang pertama yang dituju...

Hanya linangan air mata tatkala menceritakan pengalaman dan peristiwa kepada encik tunang..terima kasih encik tunang,meminjamkan suara yang sungguh menenangkan hati...

Pergilah mana pun, kesempurnaan majlis itu terletak kepada "kehebatan" juruacara mengemudi majlis..selalunya begitu pandangan orang..

Tetapi, sesedia mana pun seorang juruacara, sesedap mana suara dilontarkan..adakalanya apabila beberapa kesalahan teknikal yang berlaku..
Orang pertama mungkin akan disalahkan adalah juruacara...

Walau sebenarnya kesempurnaan tidak pernah menjadi milik kita..

Inilah pengalaman..terima kasih Ya Allah...segala yang buruk itu datangnya dari kekhilafan diri sendiri..






*salam sayang*

18 October 2010

kerana kamu istimewa

"Cikgu...itu apa cikgu tulis-tulis itu..saya ada baca..banyak woo cikgu tulis..semua saya baca.."

"Saya senang baca maa..sebab cikgu semua tak guna itu pendek-pendek punya ejaan.."

"Sebab itu saya boleh baca..boleh faham sikit-sikit.."

Terima kasih! Terima kasih! Terima kasih anak murid!!

Dan hadiahnya ialah...

Pelekat
"Saya Mesti Lulus Bahasa Melayu!"
"Saya Mesti Lulus SPM!"

Habis satu kelas aku tampalkan..heheh..

Kesian kamu ye Bong dan Razif..tapi, manalah tahukan..kata-kata itu jadi doa...
Mustahil boleh jadi ajaib...

Gagal itu biasa..terus berusaha
Itu baru luar biasa!

Jadi,

Jangan putus asa!







Kerana itu kamu istimewa di hati cikgu....



*salam sayang*

17 October 2010

Vitamin K

Pagi tadi memang paling tak tahu macam mana nak bawa diri...
Besar masalah itu sebenarnya..nak bawa diri...bukan sebab gemuk atau terlebih muatan diri..

Tapi, nak bawa diri apabila berada dalam kelompok atau kalangan bukan dari kebiasaan kita..tentu janggal..tentu asing..

Itulah yang berlaku pada aku pagi tadi..serba tak kena...

Mula-mula bila sampai di kawasan sekolah tempat berlangsungnya Hari Keluarga Pengetua-Pengetua Melaka, aku duduk dulu dalam kereta..baca surat khabar...

Sebenarnya nak meredakan kegusaran dalam hati ini..nak turun dari kereta, macam malu...sebab memang tak kenal sesiapa..kecuali pengetua sekolah aku..

Adalah dalam 15 minit aku bertapa dalam kereta..pandang keliling..nampak sahaja pengetua aku dah sampai, aku pun turunlah tunjuk muka...

Jalan lurus..senyum..salam semua orang dan senyum lagi...ambil sarapan nasi lemak secukup mulut nak rasa sahaja..duduk sopan..senyum lagi pada orang semeja..dan mula berbual...

Dan mulalah aku memperkenalkan diri sebagai juruacara dari SMK Bukit Baru...

Haish...PR aku masih lemah lagi..
Macam mana ini...
Padahal kalau nak diikutkan untuk menjadi pengacara majlis jangan malu nak membuka mulut..keyakinan kena tinggi...
Tapi, baru bertatih dah macam ini..teruk jugalah kan..


Jadi, apa yang penting adalah membina keyakinan diri...
Kena yakin..harus yakin..dan yakin..dan yakin lagi..pam keyakinan diri...

Tiada tips untuk membina keyakinan diri..cuma mungkin,pengalaman menjadi guru yang terbaik..
Pengalaman bukan dengan bercerita..tetapi dengan melaluinya...




*salam sayang*

lambaian

Lambaian...

bukan semua akan dapat peluang merasai kemanisan lambaian dariNya..


InsyaAllah...pintu rezeki kita semua akan terbuka luas untuk menjadi tetamu lambaianNya..

Buat rakan-rakan...

Syukur alhamdulillah...dapat menjadi tetamuNya..
Semoga selamat pergi dan juga selamat kembali...
Selamat menunaikan ibadah pengabdian kepadaNya..



Selamat menunaikan haji..

Khairul Dzullia Kahar...KayDee
Kidhaus..Kie

dan juga...

Pn. Anita..
Pn. Hazimah..
 

*salam sayang*

11 October 2010

takziah

Apabila itu janji dan ketentuan...tidaklah ia tercepat sesaat dan terlambat sesaat...

Yang hidup jadikan pengajaran..jadikan iktibar...jalan raya bukan sungai darah...

Yang telah pergi, Al-Fatihah buat kalian...moga ditempatkan di tempat para amal soleh..

Aku selalu berpesan dengan anak murid aku..bila mereka kasar bergurau...

"Sekarang ini, malaikat rahmat yang sedang menjaga...jika malaikat maut datang,sesaat tidak lambat,sesaat tidak cepat"

Tidak sampai hati untuk meletakkan pautan gambar tragedi...

Buat petugas penyelamat...terima kasih kerana anda telah menjalankan tugas fardu kifayah dan bakti sesama insan...hanya Allah yang akan membalasnya...




*salam sayang*

10 October 2010

siren yang dilupakan..

Petang tadi entah kenapa..semua stesen radio aku rasakan macam lagu-lagu yang disiarkan tak berapa seronok nak dengar..tukar-tukar,akhirnya mendengar radio Era..lama tak dengar radio Era sebenarnya..*pengakuan jujur*..

Kebetulan waktu nak dah dekat Asar..jadi muzik yang dimainkan agak sentimental..dan akhirnya pengumuman waktu azan Asar diumumkan..dan kemudiannya diikuti dengan azan! Aku memang terkejut..ye la..aku baru kali ini dengar radio Era..tak sangka ada perubahan yang sangat menarik..Tahniah radio Era!!

Aku rasa mungkin stesen radio swasta pertama yang mengumandangkan azan pada waktunya...yang lain hanya pengumuman dan diikuti dengan sebuah lagi nasyid...lepas sahaja habis lagu nasyid..iklan...dan lagu Wakaka pula!


Pada zaman Rasullah, beberapa cadangan dikemukakan untuk memberitahu waktu sembahyang..antaranya menggunakan api, menggunakan nafiri, menggunakan tabuh dan akhirnya ilham diturunkan supaya dilaungkan azan..(pautan dari al-ahkam)

Azan ini umpama siren..

Tapi..bandingkan antara...

i. Siren kecemasan...seperti siren kebakaran...
Semua orang akan berlari keluar dari bangunan apabila terdengar bunyi siren atau loceng yang panjang...
Teringat anak murid aku lari keliling padang apabila mendengar bunyi loceng yang panjang,terpaksalah murid lain mengejarnya...
Siapa tak takut bila siren tersebut dibunyikan...walaupun sesi latihan..semua dari kita pasti akan bergegas mencari perlindungan selamat...Mohon dijauhkan dari malapetaka itu...

ii. azan..tanda masuknya waktu sembahyang..
Kejap lagilah..waktu ada lagi..nak siapkan kerja ini dululah..
Lainkan reaksinya..(aku pun, sebab kelas habis pada pukul 2.40,jadinya pukul 3 baru sembahyang..itu pun kalau sembahyang di sekolah)
Sebenarnya macam siren jugalah..menyuruh kita melakukan tiang agama..perkara kedua dalam rukun Islam..menyelamatkan kita dari sebarang musibah dan kecelakaan..mendekatkan kita pada yang Esa..

Tapi..adakalanya dan selalunya kita juga terleka dan terlalai..(penggunaan "kita" merujuk kepada diri sendiri)..

Azan masih dilaungkan walaupun kita memang tahu,yang pagi adalah Subuh,tengah hari adalah Zohor,petang adalah Asar,senja adalah Maghrib dan malam adalah Isyak..

Sebab..kita leka..lalai..lupa..

Kerana itu azan tetap dilaungkan...hingga akhirnya kita tidak lagi mendengar seruan itu..

Siren yang dilupakan..

Tahniah radio Era!

*salam sayang*
 

09 October 2010

tabahkan hati mereka

Alhamdulillah...aku "dipertemukan" sendiri dengan blog dari sebuah keluarga yang sangat dirahmati Allah..yang sangat disayangi Allah...

Kenapa?

Sebab mereka tabah membesarkan dua orang anak kurang upaya...ahli syurga...

Anda atau kita mampu..?
Belum tentu...

Ini blog keluarga mereka...akuoku
 

Jangan kita asyik seronok berblog tetapi isinya kosong..hanya bercerita kegembiraan dan kemeriahan perjalanan hidup kita...

*salam sayang*
 

08 October 2010

berita kepada kawan

Perjalanan ini terasa sangat menyedihkan
Sayang, engkau tak duduk di sampingku kawan
Banyak cerita yang mestinya kau saksikan
Di tanah kering berbatuan

Tubuh ku terguncang di hempas batu jalanan
Hati tergetar menampak kering rerumputan
Perjalan ini pun seperti jadi saksi
Gembala kecil menangis sedih

Kawan coba dengar apa jawabnya
Ketika ia ku tanya "Mengapa?"
Bapak ibunya telah lama mati
Ditelan bencana tanah ini

Sesampainya di laut ku khabarkan semuanya
Kepada karang, kepada ombak, kepada matahari
Tetapi semua diam, tetapi semua bisu
Tinggal aku sendiri terpaku menatap langit

Barangkali di sana ada jawabnya
Mengapa di tanahku terjadi bencana

Mungkin Tuhan mulai bosan melihat tingkah kita
Yang selalu salah dan bangga dengan dosa-dosa
Atau alam mulai enggan bersahabat dengan kita
Coba kita bertanya pada rumput yang bergoyang

*salam sayang*

entri jawab soalan.

Sebenarnya..ini bukan kali pertama blog ini dilekat atau di"tag" oleh rakan-rakan..tapi, untuk menghormati permintaan..ini jawapan untuk setiap soalan yang diberikan...

*aku tukarkan ejaannya kepada ejaan yang sebenar*

1. Apa benda yang paling penting dalam hidup kamu?

Cermin mata.


2. Benda yang terakhir kamu beli menggunakan duit sendiri?

Komputer riba.


3. Di mana tempat kamu ingin melangsungkan perkahwinan kamu dan tema perkahwinan kamu?

Rumah sendiri. Tema mengikut adat Melaka. Sangat meriah!


4. Adakah kamu sedang bercinta sekarang?

Pasti!

5. Berapa lama kamu akan mencintai kekasih kamu?
 
Tiada tempoh masa


6. novel/buku/majalah yang terakhir kamu beli?

Buku soalan PMR sebenar subjek Geografi.

7. Dimana kamu selalu jumpa dengan kekasih kamu?

Bergilir-gilir Melaka atau Pulau Pinang.


8. Siapa nama penuh kamu?

Siti Dahlia binti Mohd Rosle


9. Antara mak dan ayah mana yang kamu lebih mesra?

Kedua-duanya


10. Namakan orang yang betul-betul kamu jumpa dalam hidup kamu?

Ada tak atau pernah tak kita jumpa tak betul-betul dalam hidup kita. *tak faham kehendak soalan*

11. Adakah kamu membasuh baju kamu sendiri?

Ye..


12. Di manakah tempat yang betul-betul kamu nak pergi?

Moga diberi kesempatan menjadi tetamuNya..


13. Pilih satu, peluk atau cium?

Bolehkan peluk tanpa cium..dah cium tanpa peluk...? 
Katakan mencium tangan, kamu pasti akan memeluk jari dan tapak tangannya..


14. Beritahu 3 benda tentang orang yang tag kamu?

1. Tidak pernah kenal putus asa.
2. Pandai mengembirakan orang lain.
3. Harapnya kegabraan beliau telah berakhir.


15. 5 benda yang kamu sayang sangat dalam hidup kamu

1. Cincin tunang.
2. Gambar-gambar
3. Kereta 
4. Koleksi surat cinta
5. Piala bahas semasa zaman persekolahan
 

16. 5 lagu yang kamu suka dengar?

1. Stay The Same
2. Pastikan
3. Yakin
4. .....
5. ......

*banyak lagi*


17. Bila tarikh lahir kamu dan di mana kamu sambut tahun lepas?

21 Disember 1985..sedang berada di rumah menanti rombongan keluarga encik tunang..

18. 5 orang blogger yang kamu nak tag

Yana
Nasriah
Kak Fatin
Ayu
Nadiah Hamdan

19. cerita Sikit blogger pertama yang kamu tag
Siti Intan Liyana yang tidak pernah berkira untuk mengembirakan orang lain. Terima kasih!




Selesai sudah menjawap 19 soalan. Terima kasih Fizzie..moga dapat berjumpa kamu nanti...

*salam sayang*

07 October 2010

kalaulah esok...

Sekarang ini soalan yang tak putus-putus dari anak-anak murid aku ialah..."bila Cikgu Dahlia nak kahwin?"..
Selagi tak diberitahu tarikhnya, selagi itu soalan itu akan ditanya..*comel!* heheh...

Aku jawab.."Esok pagi.."..heheh..
ohhh..jika esok pagi adalah harinya..pasti seronok kan..encik tunang..? heheh...







Semua ini hanya Allah yang tahu percaturanNya...

Tahniah kepada sahabat baik aku yang akan mula memikul amanah dan tanggungjawab baru..khas untuk Jaem 16 Okt dan Rock 30 Okt..

*salam sayang*

06 October 2010

aura

Dulu kita heboh sekejap dengan kemunculan seorang penyanyi yang dikatakan memiliki aura yang terhebat..sehinggakan ketika itu di mana sahaja dan apa jua didominasi oleh penyanyi tersebut...sekarang, aura itu makin hilang..(mungkin-tak minat penyanyi itu pun)..

Aura...mengikut definisi Kamus Dewan Edisi Empat..ialah..
suasana atau perasaan halus yang menye­lubungi diri seseorang atau sesuatu...

Jadinya, mengikut pemahaman aku..di mana-mana jua punya aura...
Contohnya..kita mesti kecut perut kalau tiba-tiba bos panggil masuk bilik..
Aku pun pernah tiba-tiba GPK 1 panggil masuk bilik..
Maksudnya, bilik bos itu mempunyai aura yang mana kita akan rasa sesuatu perasaan yang lain dari biasa..
Apa lagi kalau kita dibawa ke bilik mayat..

Sama juga halnya dengan bilik peperiksaan...bukan sekadar meja dan kerusi, slip peperiksaan dan papan tanda "Jangan Membuat Bising. Peperiksaan Sedang Dijalankan" sahaja yang ada..sebenarnya ia lebih kepada memberi kesan terhadap psikologi seseorang...dikaitkan juga dengan aura..bilik peperiksaan yang sunyi sepi,hanya diri sendiri berperang dengan kekesalan tidak mengulangkaji atau hati menjerit apa yang dibaca keluar dalam peperiksaan...

Tapi..dalam pemerhatian selama dua hari ini..aura bilik peperiksaan pada calon-calon macam dah hilang...(janganlah dibandingkan pula dengan anak-anak pendidikan khas)..calon yang lain masih sempat bergurau senda..walau di hadapan bilik peperiksaan! Bila ditegur,mulalah buat kerlingan tajam dan mulut mengomel..diamnya 3 saat..

Seolah-olah kelas yang dijadikan bilik peperiksaan itu macam kelas biasa...masuk, duduk, keluarkan alat tulis segala,terima kertas soalan dan jawapan..jawap ala kadar..sudah!

Rasanya dulu bilik peperiksaan boleh buat rasa nak terkencing..kalau boleh, nak jadi orang terakhir yang masuk dalam bilik peperiksaan..

Mungkin segelintir calon yang benar-benar menghargai kesempatan untuk membina kejayaan akan merasakan bahawa langkah mereka di bilik peperiksaan itu tidak lagi boleh diundur...

Mana hilangnya aura itu...? Bukan bilik peperiksaan itu yang salah...







*salam sayang*

05 October 2010

putera katak

Hari ini aku  berulang alik menghantar dan menjemput anak-anak aku yang menduduki kertas peperiksaan PMR..tak kisah..ulang alik memanjat tingkat 4 dari blok berlainan berulang kali pun tak apa..asalkan anak-anak aku rasa bersemangat dan bermotivasi untuk mengambil peperiksaan...

Yang aku geram..rasa ringan juga tangan dengan mulut ini..

Kertas peperiksaan Pendidikan Islam..oleh kerana calon beragama lain tiada,maka bilik anak-anak aku ditutup dan mereka dikumpulkan bersama di bilik bersebelahan..sudah pastilah kedudukan asal akan berubah dan ditentukan oleh pengawas peperiksaan..

Yang jadi geram, bila seorang calon yang sempurna dan normal fikiran hanya menjeling dan menjerit "Panaslah!" bila diarahkan duduk bersebelahan dengan anak aku yang memang sah-sah murid pendidikan khas..tak hilang ilmu awak nak menjawab pun kalau awak duduk sebelah dia!

Wah! Wah! mentang-mentanglah sempurna segala..sesedap rasa sahaja..nasib baik ada pengawas peperiksaan..kalau tak, memang basuh budak perempuan itu cukup-cukup..(entri panas hati)

Di syurga esok..anak-anak ini lagi sempurna dari kita..sekarang ini, siapa sudi nak pandang...? dekat pun takut..nak menjeling kerlingkan mata pun ada stigma..tapi, bila dah jadi macam putera katak nanti, semua nak jadikan kawan...
Doakan anak-anak aku yang mengambil peperiksaan PMR tahun ini ye...Cikgu sayang kalian!

*salam sayang*

02 October 2010

betulkan?

Jalan-jalan menjengah blog..tertarik dengan banner dari blog...cursing malay..

Tanpa ayat..tapi hanya ilustrasi kartun mengungkap dan menceritakan dengan bersahaja tapi penuh bermakna...


Betulkan....?

Hanya itu sahaja untuk dikongsikan. Terima kasih cursing malay..

*salam sayang*